Thursday, October 23, 2008

Sambutan Raya SRAIR 08



Pada 23 Oktober 2008 telah diadakan sambutan raya SRAIR. Sambutan yang diterima daripada murid-murid dan ibubapa amat menggalakkan. Hidangan satay, mee hon goreng, kuih raya meningkat lagi semangat raya. Dengan berbaju raya, murid-murid amat segak dan bergaya, tak lupa guru-guru yang turut berhias sama.
Terimakasih kepada ibu bapa yang menyumbang, usaha keras guru-guru, AJK PIBG yang hadir dan semua murid-murid yang menjayakannya.
Jumpa lagi di tahun hadapan.



Saturday, July 19, 2008

Projek Barangan terpakai












Alhamdulillah, projek pengumpulan dan jualan barang-barang lusuh/terpakai telah bermula pada 11hb Julai 2008 yang lalu. Maklum pertama kali, sambutannya agak kurang memberangsangkan. Walaupun begitu ia telah menghasilkan jualan RM160.00. satu permulaan yang baik, tidak termasuk lagi sumbangan wang siling.
Namun pada 17hb Julai yang lalu, pada sessi pagi sahaja 4 trip barangan di hantar ke kedai dan telah menjana jualan yang amat memberangsangkan iaitu RM230.00. Pada sebelah petang tak larat kereta YDP dan van Ustaz Najmudin nak mengangkut lebih 200 kilo surat khabar lama, maka lori dipanggil. Nah sessi petang hasil yang dapat RM170.00. Maka pada minggu lepas sahaja pendapatan adalah RM400.00. Wow! Ini tidak termasuk sumbangan siling. Kita tunggu pulak minggu depan...
Untuk itu, terimakasih kepada semua ibubapa yang menyumbangkan barangan terpakai, anak-anak yang sanggup mengheretnya ke sekolah, GB dan semua guru-guru yang amat bersemangat, sampai basah baju dek peluh, tak ketinggalan juga En Mohamad. [dengar khabar ada idea lain Ramadhan ni...] Semoga usaha ini akan dapat membantu sumber kewangan PIBG untuk aktiviti sekolah, murid dan guru. Terimakasih semua.
Kertas Kerja berhubung dengan Kad Wakaf Amal telah dikemukakan kepada pihak JAIS. Nampaknya tiada halangan dan hanya menunggu surat rasmi. Selanjutnya akan dikemukakan kepada pihak POLIS untuk memohon permit. Langkah berikut adalah kita gerakkan kad kutipan ini kepada ibubapa. Mudah-mudahan mendapat sambutan dan kerjasama dari semua ibubapa.

Monday, June 30, 2008

PROJEK WAKAF AMAL 2008

Insyaallah, disepanjang bulan Julai dan Ogos ini PIBG akan mengadakan Projek Mengumpul Dana / Wakaf Amal. Tujuan diadakan projek ini adalah untuk mengumpul dana bagi menjalankan beberapa program iaitu ;
1. Menaiktaraf Pusat Sumber
2. Membeli komputer baru dan menaiktaraf komputer sediada
3. Membeli Lap Top dan Skrin
4. Menampung Skim Wakaf Buku Teks
5. Keceriaan dan Landskap
6. Lain-lain aktiviti sekolah dan pelajar

Antara program yang telah dirancang untuk mengisi tabung PIBG ini adalah ;
1. Kad Wakaf Amal
2. Jualan Barang-barang Lusuh
3. Sumbangan wang siling
4. Karnival / Majlis Pelancaran
5. Sumbangan dari Syarikat-syarikat Korporat, Institusi dan
6. Sumbangan dari orang ramai

Adalah diharapkan sumbangan yang dapat dijana dari Projek ini adalah sebanyak RM50,000.00. Insyaallah dengan komitment dan usaha keras seluruh AJK dan kerjasama Guru-guru, sasaran ini akan cuba dicapai walau menyedari hakikat bahawa kekangan ekonomi menjejaskan sedikit faktor jumlah sumbangan. Namun kesedaran, kerjasama dan keprihatinan dari ibubapa/penjaga amatlah diharap dalam menjayakan matlamat projek ini, yang akhirnya manafaatnya akan disalurkan untuk kemaslahatan anak-anak di SRA Ibnu Rusyd ini.

Saturday, June 21, 2008

Ceramah Motivasi Dan Dialog Guru-guru dan PIBG


Pada 21 Jun 2008 telah diadakan satu Program Motivasi dan sessi dialog antara guru-guru dan PIBG SRAIR. Ceramah Motivasi telah disampaikan oleh Tn Hj Ir Mohammad Mokhtar bin Mohd Ali. Satu ceramah yang segar dan meninggalkan kesan. Antara lain beliau mengupas persoalan punca ibubapa komplain, bagaimana menguruskan konflik dan kemahiran berkomunikasi, dalam bersahaja ada juga yang terkena.
Selepas itu satu sessi dialog antara guru-guru dan PIBG telah diadakan. Guru-guru berpeluang menyuarakan beberapa pendapat dan cadangan yang bernas dalam meningkatkan kualiti pembelajaran dan mengubah persepsi masyarakat terhadap guru-guru agama. Walaupun suasana perbincangan kadangkala agak panas tetapi terkawal. Insyaallah semua cadangan akan cuba dilaksanakan sekadar yang termampu oleh pihak PIBG.
Selepas makan tengahari, semua AJK PIBG pula kembali bersidang bagi membincangkan Projek WakafAmal. Antara pengisian projek ini adalah Kad WakafAmal, Mengumpul dan menjual barang-barang lusuh, sumbangan wang siling, majlis pelancaran dan sumbangan dari syarikat-syarikat serta individu. Tujuannya adalah untuk mengumpul dana bagi membiayai projek menaiktaraf pusat sumber, membeli komputer dan LCD projektor, menampung Skim Wakaf Buku Teks dan juga untuk membiayai beberapa program sekolah dan PIBG.
Komitment dan sumbangan semua pihak amatlah diharapkan dalam menjayakan program-program yang dianjurkan oleh pihak PIBG.









Dari Lensa SINAR


Hari Guru SRAIR 2008 telah disambut pada 13 Jun 2008 yang lalu. Pelbagai acara telah diadakan, dari persembahan murid, nasyid, sajak dan seloka. Juga nyanyian Hari Guru dan Ikrar oleh para guru telah memeriahkan majlis. Tidak ketinggalan acara yang mencuit hati iaitu gubahan bunga kreatif dan membuat sandwich oleh guru-guru.

Majlis ini dianjur oleh pihak PIBG sebagai satu pengiktirafan ke atas jasa dan sumbangan mereka. Walaupun sedar penghargaan yang diberi itu tidak setimpal.

Terimakasih juga kepada semua AJK PIBG, guru-guru dan murid-murid yang menjayakan majlis tersebut. Tidak ketinggalan kepada semua ibubapa/penjaga dan juga penaja yang menyumbang kepada majlis ini. Diharap dengan komitment semua ibubapa/penjaga, segala program yang dirancang oleh pihak PIBG akan mendapat sambutan yang baik serta dapat mencapai matlamatnya.


Selamat Hari Guru.

Wednesday, June 18, 2008